Gandingan Prabowo Subianto, anak Jokowi

JAKARTA 23 Okt. –  Menteri Pertahanan yang juga calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan anak sulung Joko Widodo iaitu Gibran Rakabuming Raka akan menjadi pasangannya bagi calon Naib Presiden pada  pilihan raya 2024.

Prabowo dari Parti Gerindra, berkata Gabungan Indonesia Maju telah mengadakan perbincangan akhir dan bersetuju mencalonkan Prabowo Subianto sebagai calon Presiden dan Gibran Rakabuming Raka sebagai calon Naib Presiden.

Katanya, semua parti anggota gabungan Indonesia Maju mencapai keputusan itu secara konsensus.

Ketika mengumumkan keputusan itu semalam turut hadir ketua parti anggota gabungan termasuk Ketua Golkar, Airlangga Hartarto; Ketua Parti Amanat Nasional (PAN), Zulkifli Hasan; Ketua Parti Bulan Bintang (PBB), Yusril Ihza Mahendra dan Ketua Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono.

Namun begitu, Raka, yang juga sebagai Wali Kota Surakarta tidak hadir ketika pengumuman itu dibuat.

Pada Sabtu lalu, Golkar mencadangkan Raka menjadi pasangan calon Naib Presiden Prabowo dalam pemilihan presiden 2024.

Pasangan Subianto-Raka belum mendaftarkan diri mereka di Komisi Pemilihan Umum (KPU), sementara pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD sudah mendaftarkan diri pada 19 Oktober.

Pendaftaran pasangan calon Presiden dan Naib Presiden bermula dari 19 hingga 25 Oktober 2023.

Related posts

Leave a Comment