PUTRAJAYA 23 Okt. – Barisan Nasional (BN) menerima beberapa nama untuk dicalonkan bagi merebut kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini, kata Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata senarai pendek calon yang akan akan dilakukan beberapa hari lagi dipilih terdiri daripada anak Kemaman yang memegang jawatan dalam parti di peringkat nasional dan negeri.
Katanya, pemilihan calon akan diputuskan beliau dan akan diumumkan Pengarah Jentera BN PRK Kemaman, Ahmad Said.
“Calon yang dipilih akan diumumkan dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV 2023 di sini semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember dengan 18 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15 lalu, Che Alias mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain, iaitu Ahmad (BN) yang memperoleh 38,535 undi, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan – 8,340 undi), dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506 undi).
Che Alias berjaya mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini melantik Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu sebagai Pengarah Jentera BN.
Ahmad juga sebelum ini menyatakan beliau sedia berlapang dada jika tidak dipilih semula sebagai calon PRK dan sedia menyokong sesiapa saja calon diketengahkan BN untuk merampas kerusi berkenaan daripada Pas.
“Jika ada calon lebih baik, saya sedia beri laluan. Saya berlapang dada jika tidak terpilih (sebagai calon) dan akan bantu siapa sahaja yang jadi calon,” katanya.
