SHAH ALAM Pas hari ini melancarkan aplikasi pelbagai fungsi, MyOnePAS Super App yang dilengkapi dengan kemudahan kad prabayar, menggunakan Mastercard, selain e-dompet.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang melancarkan aplikasi MyOnePAS Super App itu pada muktamar yang sedang berlangsung.
Bercakap pada sidang media selepas pelancaran itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata MyOnePAS Super App adalah projek ke arah digitalisasi semua aktiviti berkaitan parti itu, termasuk urusan derma dan transaksi yang dibangunkan syarikat Pas, Pay Tech Sdn Bhd.
Beliau berkata, MyOnePAS Super App turut mempunyai kemudahan pembayaran bil, panduan solat dan aplikasi lain untuk pelbagai urusan parti.
“Apabila mendaftar melalui aplikasi ini, mereka akan mendapat sama ada kad fizikal atau kad maya yang mempunyai kemudahan Mastercard yang mana jika ingin digunakan, mereka perlu memindahkan wang ke dalam kad terbabit.
“Selain berperanan sebagai kad debit yang boleh digunakan di banyak ‘outlet’ dengan kerjasama Mpay, ia juga boleh berfungsi seperti e-dompet.
“Jika ingin memohon bagi kad fizikal, bayaran sebanyak RM25 dikenakan dan ia boleh ‘menyimpan’ had wang sehingga RM10,000 bagi Mastercard dan RM25,000 bagi e-dompet,” katanya.
Takiyuddin berkata, MyOnePAS Super App yang boleh dilayari semua individu dan tidak terhad untuk ahli parti itu sahaja, boleh dimuat turun melalui kemudahan Android.
Beliau berkata, bagi pengguna i-Phone pula, aplikasi itu boleh mula dimuat turun bermula 24 November ini.
