Ahmad Said Pengarah Jentera BN PRK Kemaman

KUALA LUMPUR 21 Okt. –  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan diadakan pada Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelantikan bekas menteri besar Terengganu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Related posts

Leave a Comment