Kekurangan 12,000 pakar keselamatan siber

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Malaysia masih kekurangan kira-kira 12,000 pakar keselamatan siber pelbagai bidang bagi menangani isu serangan siber selepas ia dilihat sebagai cabaran dalam usaha kerajaan memacu agenda pendigitalan negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, seperti dilaporkan Bernama berkata Malaysia memerlukan kira-kira 27,000 pakar keselamatan siber namun ketika ini hanya memiliki 15,000 orang untuk membantu menangani isu itu.

“Ini satu kekurangan yang sangat besar sebab bila kita faham keperluan untuk keselamatan siber dan rata-rata syarikat, terutama yang banyak terlibat dengan ekonomi digital, mereka akan mementingkan isu keselamatan siber dan akan ada keperluan mendesak untuk menubuhkan unit keselamatan siber sendiri.

“Setiap syarikat bergantung kepada saiz, mungkin memerlukan antara 20 hingga 30 orang, dan kalau kita tengok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai contoh, memang ada keperluan,” katanya selepas program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau juga percaya Kementerian Komunikasi dan Digital, menerusi CyberSecurity Malaysia, mempunyai beberapa ikhtiar yang akan dilaksana bagi memantapkan lagi industri itu dalam menangani serangan siber.

Perkara ini boleh diatasi dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, juga dengan membawa masuk pakar dari luar.

Related posts

Leave a Comment