SHAH ALAM 19 Okt. – Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan keyakinan bahawa parti itu akan kembali menjadi sebahagian parti yang akan memerintah Putrajaya.
Katanya, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) harus bersedia menerajui Kerajaan Persekutuan pada masa depan.
Beliau mendakwa ramai pimpinan, wakil kedutaan asing pimpinan negara luar yang mengunjunginya secara keseluruhan membuat kesimpulan masa depan negara terletak kepada PN dan Pas.
“Kita harus bersedia menerajui kerajaan pada masa hadapan. Pemuda (Pas) mesti melengkapkan hakikat tersebut dan bersama pimpinan menerajui kerajaan,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda Pas yang ke-64 di IDCC malam tadi.
Tuan Ibrahim dalam ucapannya turut mengimbau sejarah panjang perjuangan parti itu sebelum mengecap kemenangan dalam beberapa tahun ini termasuk muktamar diadakan di sebuah banglo di Johor dengan pimpinannya hadir “bersila.”
Beliau sempat berseloroh mengenai kedudukan Pas dalam politik negara sejak Pilihan Raya Umum 2018 lalu sehinggalah PRU15.
“Waktu kita ada 18 kerusi (parlimen) kita jadi kerajaan. Waktu kita berada di kerusi yang besar (PRU15) kita di pembangkang. Ini di antara tanda-tanda hampirnya kiamat. Patut waktu kita banyak kerusi kita duduk dalam kerajaan,” katanya sambil tersenyum.
Untuk rekod Pas pada 2020 pernah bersama membentuk kerajaan Persekutuan yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH selepas kemenangan gabungan itu pada PRU14.
Pada Ogos 2021, Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan Pas masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara.
Seterusnya, pada PRU lalu, Pas melalui gabungan PN menang besar pada namun kerusinya masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan kerana tidak ada parti yang memiliki majoriti menyebabkan parlimen tergantung.
Susulan itu, berlaku penjajaran politik baharu apabila terbentuknya kerjasama politik antara PH, BN, GPS dan GRS manakala, PN menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan ketika pembentukannya itu.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum takrifan berkaitan 3R (raja, agama, bangsa) bagi mengelakkan berlaku salah guna kuasa semata-mata bagi menekan pembangkang.
Menurutnya juga setiap sesuatu tindakan yang hendak dilaksanakan kerajaan perlu digubal peraturan secara jelas bagi mengelakkan berlaku kekeliruan ramai. –
Katanya apa yang berlaku sekarang kelihatan hanya pembangkang dijadikan mangsa yang dikaitkan dengan 3R sedangkan isu serupa yang disebut pemimpin kerajaan biarpun sudah dibuat laporan, tidak kedengaran dikenakan tindakan.
“Kami mendesak kerajaan untuk menjelaskan garis panduan mengenai isu 3 kepada umum bagi membolehkan difahami orang ramai,” katanya.
