ISKANDAR PUTERI 26 Nov. – Pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan solat Jumaat bermula Januari tahun depan diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat, boleh dikenakan tindakan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja disusahkan, pekerja boleh mengadu kepada JTK di bawah Akta Pekerja dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula Januari ini.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
Khamis lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula Januari tahun depan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah berkata sejumlah 26 sekolah di negeri ini melibatkan 15 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan 11 sekolah di bawah JAINJ dikesan berdepan kesukaran untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari persekolahan.
“Sekolah ini telah memohon kebenaran Jabatan Mufti Johor agar surau mereka atau surau kariah berhampiran dinaik taraf menjadi Surau Jumaat. Sebagai langkah penyelesaian, Jabatan Mufti Johor juga telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah-Sekolah.
“Ia melibatkan sekolah yang jaraknya melebihi radius 3 kilometer dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata bagi memastikan pelajar lelaki beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat maka JPNJ dan JAINJ bersama Jabatan Mufti Johor akan menambah bilangan surau termasuk dewan di sekolah bagi pelaksanaan solat Jumaat.
(Foto pejabat jurutulis DUN Johor)
Nnn
