Beri ruang kepada tenaga muda

SHAH ALAM 19 Okt. – Dewan Pemuda Pas (DPP) menggesa kepemimpinan parti lebih serius memberikan ruang dan peluang kepada tenaga muda tampil ke depan bagi mengisi kemenangan dalam pilihan raya, kata Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau menarik perhatian kepemimpinan dengan merujuk penyertaan calon muda yang begitu sedikit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini.

“Jika dibincang dari konteks Ketua Pemuda Negeri, hanya satu Ketua Pemuda Pas Negeri bertanding, di kerusi Kota Anggerik di Selangor, manakala lima negeri tidak membariskan ketua pemuda negeri atas pelbagai faktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ucaptama Ketua Pemuda Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-64 sesi 2021-2023 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, malam tadi.

Pemuda katanya bukan memburu kerusi, tetapi apakah persepsi yang parti mahu bentuk dan beri kepada anak muda di luar sekiranya parti mempunyai masalah untuk memberikan ruang kepada muka baharu berkhidmat di barisan hadapan.

“Anak-anak muda juga telah memberikan sokongan tinggi kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu, bagaimanapun dalam PRN di enam negeri, penyertaan calon muda sangat minimum,” katanya.

Pemuda juga menggesa tenaga pelapis dalam kerajaan negeri diperbanyakkan supaya tenaga yang bertungkus-lumus di peringkat parti turut sama didedahkan dalam agenda berkerajaan.

“Selain itu, Pemuda Pas juga perlu berdisiplin dalam melaksanakan ketetapan dan arahan Jemaah. Ia bagi memastikan prestasi Pas, khususnya Pemuda Pas berada pada tahap terbaik,” katanya.

Pemuda Pas katanya perlu terus serius terhadap misi mencetak pelapis pimpinan yang berkualiti ke arah kemenangan, seterusnya membina ‘Better Malaysia’ yang mengimbangi aspek kecemerlangan dunia dan akhirat.

Beliau juga menyentuh mengenai sokongan pengundi muda yang memberikan undi maksimum kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menurut beliau, statistik pengundi PRU15 dan PRN baru-baru ini menunjukkan jumlah pengundi berdaftar adalah 9,773,571 orang dan daripada jumlah itu, 51.88 peratus atau 5,070,652 merupakan pengundi muda di mana 3,254,239 merupakan pengundi pertama kali (first time voters).

Beliau berkata, PN melalui slogannya ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ menjadi pilihan majoriti anak muda di Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang.

Related posts

Leave a Comment