KUALA LUMPUR 18 Okt. – Dewan Rakyat kecoh lagi apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan isu mengenai menantu Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh itu menyentuh isu beras dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 hari ini.
Hampir setengah jam pertikaman lidah berlaku antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang susulan tindakan Poay Tiong itu dan kedengaran teriakan ahli Parlimen yang menyebut tarik balik dan tiada kaitan isu beras.
Ketika mencelah perbahasan bekas Perdana Menteri itu, Poay Tiong bertanya apakah Muhyiddin tidak berhemah ketika menerajui pentadbiran hingga menantunya melarikan diri ke luar negara dan tidak pulang bagi berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Poay Tiong merujuk kepada Muhammad Adlan Berhan yang sedang dicari pihak berkuasa bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Tindakan Ahli Parlimen Kota Melaka itu membangkitkan kemarahan beberapa ahli Parlimen pembangkang, yang mendakwa ia tiada kaitan dengan isu utama perbahasan dan meminta kenyataan itu ditarik balik.
Muhyiddin turut memohon kenyataan penyokong kerajaan yang berniat jahat itu ditarik balik.
“Yang Dipertua, perkara akhir mengenai menantu saya itu, ada niat jahat. Perkara yang kita bahas bukan soal itu dan saya minta supaya ia ditarik balik,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau, mengarahkan Poay Tiong menarik balik kenyataan itu.
“Saya sudah kata, apa yang disebut Kota Melaka itu keluar tajuk. Kita bincang pasal beras untuk tanya penjelasan. Kenapa tanya mengenai menantu pula?” tegasnya.
Bagaimanapun, Poay Tiong tetap berkeras enggan menarik balik kenyataan itu.
Dewan semakin tegang apabila Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Poay Tiong tidak mengikut perangai seperti Zionis, sekali gus mengundang suasana hiruk-pikuk dengan Alice dan beberapa ahli Parlimen kerajaan meminta perkataan itu ditarik balik.
“Petua pada dia (Poay Tiong) dulu. Saya akan tarik selepas dia tarik. Saya kata jangan, bukan tuduh dia (Zionis),” kata Awang yang kemudiannya bersetuju menarik balik perkataan itu.
Dalam pada itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) mendesak Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) menarik balik perkataan ‘bangsat’ yang didakwa diajukan kepada Poay Tiong, namun Shahidan mendakwa ia disebut secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa.
