Tiada sangkaan jahat perbahasan Pengkalan Chepa

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Perbahasan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) semalam, berhubung isu tafsiran ayat al-Quran oleh Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) tidak mempunyai ciri-ciri sangkaan jahat seperti dibangkitkan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat  Ramli Mohd Nor, memutuskan perkara itu, berdasarkan rakaman perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 petang semalam.

Beliau mentafsir ucapan Ahmad Marzuk tidak menjangkau sangkaan jahat berikutan isu tafsiran ayat al-Quran yang dikaitkan dengan sangkaan jahat itu memang sudah berlaku dan berlegar di media massa di luar Dewan.

Sepanjang hujah Howard, katanya, tiada butiran yang menjangkau maksud beliau yang dapat menjelaskan bahagian atau frasa yang membawa maksud sangkaan jahat walaupun sudah diberi peluang.

“Tidak adil bagi saya memutuskan wujud sangkaan jahat jika ia sekadar anggapan minda saya sendiri dan tiada penjelasan atau frasa yang menjangkau kepada sangkaan jahat itu diutarakan seseorang ahli yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6).

“Dengan itu, saya tafsirkan apa yang dimaksudkan Yang Berhormat (YB) Pengkalan Chepa adalah sebagai isu akademik yang dibangkitkan dalam ucapan perbahasan beliau dalam Dewan.

“Dengan yang demikian, saya memutuskan tiada ciri-ciri dan butir-butir dalam bentuk bahagian atau frasa diketengahkan YB Ipoh Timor, yang menyokong dakwaan bahawa YB Pengkalan Chepa melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) seperti dibangkitkan YB Ipoh Timor,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila isu tafsiran ayat al-Quran disentuh pada sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 sesi petang, yang mencetuskan perang mulut antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Dalam perbahasannya,  Ahmad Marzuk membangkitkan tindakan Howard yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran, sebelum ini.

Ahmad Marzuk mempersoalkan bagaimana Howard boleh membuat tafsiran sendiri terhadap ayat itu sebagai dalil untuk menghukum pembangkang.

“Membaca isi al-Quran bukan semata-mata dibaca dan menterjemah tetapi lebih daripada itu. Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang berkeahlian seperti ulama mujtahid, mufti dan institusi fatwa,” katanya.

Howard bagaimanapun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) yang mendakwa Ahmad Marzuk membuat sangkaan jahat dengan memetik nama beliau dan mempersoalkan sama ada nukilan perterjemahannya itu salah kerana ada pihak arif menyatakan ia tidak salah.

Pada masa yang sama, beliau juga sudah memohon maaf mengenai perkara itu.

Selepas diminta Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ramli Mohd Nor, Ahmad Marzuk menjelaskan tuduhan ‘khawarij’ yang dibuat Howard ke atas pembangkang adalah tuduhan berat, sedangkan beliau dan pemimpin Pas pernah membantah apabila DAP didakwa sebagai kafir harbi, walaupun parti itu adalah kafir.

Kenyataan itu menaikkan suhu Dewan dengan RSN Rayer (PH-Jelutong) menyifatkan Ahmad Marzuk menggunakan bahasa kurang sopan dan biadab apabila mendakwa DAP sebagai kafir, sedangkan beberapa Ahli Parlimen parti itu beragama Islam termasuk Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

“Tolong jangan biadap macam ini. Saya minta beliau tarik balik,” kata Rayer.

Ahmad Marzuk mempertahankan kenyataan itu dan mendakwa ada merujuk kepada kenyataan seorang mufti yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi.

Bagaimanapun, Rayer menyifatkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu memutar belit kenyataannya.

Rayer turut menggesa Ahmad Marzuk menarik balik dakwaan DAP mahu menghapuskan keistimewaan orang Melayu, namun ahli Parlimen pembangkang itu berkata, ia tertulis dalam perlembagaan DAP iaitu untuk memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal.

Ahmad Marzuk tidak bersetuju menarik balik kenyataan itu selepas diarah oleh Ramli dan akan mengemukakan usul dan bukti selepas tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Terdahulu Ramli berkata, beliau mengambil masa untuk mengkaji semua keterangan sebelum memutuskan perkara itu kerana ia membabitkan isu keagamaan yang sensitif kepada masyarakat majmuk di Malaysia, justeru perlu dipertimbang dengan adil.

“Berkemungkinan besar, jika isu itu berlaku di depan mata dan tidak dikaitkan dengan fakta luaran, saya dapat membuat petua serta-merta, malangnya tidak berlaku sedemikian,” katanya.

Memberi maklum balas kepada keputusan itu, Howard berkata, apa yang dibangkitkan beliau semalam tidak dijawab oleh Ahmad Marzuk dan akan merayu keputusan itu.

Pada masa sama, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Ramli memutuskan sama ada perkataan kafir yang ditujukan kepada DAP oleh Ahmad Marzuk semalam, akan dibenarkan di Dewan.

Ramli bagaimanapun, meminta Rayer mengemukakan usul berhubung perkara itu.

Related posts

Leave a Comment