KUALA LUMPUR 16 Okt. – Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk membuat penstriman langsung di media sosial menggunakan peranti peribadi ketika menyampaikan ucapan pada sesi persidangan Dewan Rakyat.
Ketetapan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 35 (1), yang mana Ahli-ahli Parlimen yang berucap perlu mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi.
Sejak kebelakangan ini, pemerhatian mendapati trend Ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja masing-masing untuk membuat perstriman langsung semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Untuk makluman, ucapan Yang Berhormat boleh ditonton melalui siaran langsung melalui Youtube rasmi Parlimen Malaysia, RTM dan media massa yang lain,” katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari juga menarik perhatian Dewan Rakyat, mengikut Peraturan Mesyuarat 35(1), Ahli Parlimen perlu mengarahkan ucapan (memandang) kepada Pengerusi mesyuarat.
“Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan itu kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan berkenaan.
Justeru, untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat penstriman langsung dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Ketetapan itu mendapat reaksi Dr Ronald Kiandee (PN Beluran) yang menyifatkan peraturan ketika kemajuan teknologi maklumat itu sebagai bergerak ke belakang, bukannya ke hadapan.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga tidak dapat menerima alasan yang diberi bahawa ahli Parlimen tidak memberi ‘fokus’ ketika membuat ucapan kerana memandang peranti yang dipasang di meja.
