Nasihat berjimat kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR 16 Okt. –  Anwar Ibrahim menasihatkan penjawat awam supaya terus melakukan langkah-langkah penjimatan bagi memastikan dana awam tidak dibazirkan.

Perdana Menteri berkata, soal pembaziran tidak boleh dilihat dalam konteks yang besar sahaja sebaliknya isu kecil seperti menutup lampu pejabat dan pemberian pen mengikut jawatan juga perlu dilakukan.

“Membazir tidak perlu yang besar, macam menggunakan elektrik seperti ‘ayah kita yang bayar’. Contohnya, beri lima batang pen kepada ketua jawatan tetapi Ketua Setiausaha, 10; menteri, 15; Perdana Menteri, 20.

“Itu semua kita kena baiki sebab ia adalah dana awam,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Oktober, di sini hari ini.

Beliau turut meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), memainkan peranan dalam memastikan budaya pembaziran dari sekecil-kecil dan sebesar-besar pembaziran tidak diamalkan dalam kalangan kakitangan awam.

“Masa saya berkhidmat di Jalan Duta satu masa dahulu, bila lihat ada lampu terbuka, saya minta ketua jabatan untuk tutup kerana ia bukan duit anda tetapi dana awam. Saya harap kita mulakan satu budaya, kerana melalui penjimatan, kita dapat buat banyak perkara lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment