SST tambah beban kewangan rakyat – MCA

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Banyak aspek kehidupan harian rakyat akan terkesan berikutan peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus yang secara langsung menambahkan beban kewangan mereka.

MCA, dalam kenyataan menerusi jurucakapnya, Saw Yee Fung, menegaskan walaupun makanan, minuman dan komunikasi dikecualikan kenaikan kadar SST ini, namun rakyat masih perlu membayar kos asas hidup lain.

Ini termasuk pembayaran balik kad kredit, insurans, perubatan, logistik, e-hailing, tiket penerbangan, penginapan, internet dan perkhidmatan profesional seperti nasihat perundangan dan perakaunan.

“Maka semua aspek kehidupan harian akan terkesan daripada peningkatan kadar lapan peratus ini, yang secara langsung menambahkan beban kewangan rakyat. 

Golongan M40 dijangka paling teruk terjejas daripada langkah kerajaan ini, kerana golongan B40 akan layak menerima pelbagai bantuan, manakala golongan T20 mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil,” katanya.

Yee Fung berkata, keputusan kerajaan tidak mengembalikan semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melalui Belanjawan 2024, sebaliknya menaikkan kadar SST amat mengecewakan.

Beliau bersetuju kerajaan wajar menyusun semula sistem percukaian negara tetapi bukan dengan menaikkan kadar SST dalam usaha untuk menstabilkan ekonomi negara.

“Tindakan itu tidak wajar, apatah lagi sewaktu nilai ringgit semakin menurun, di samping kadar inflasi juga semakin meningkat.

“Kerajaan dilihat tidak mengendahkan gesaan komuniti perniagaan, persatuan dan rakyat untuk memperkenalkan semula GST dengan menetapkan kadar lebih rendah sekitar tiga atau empat peratus,” katanya..

Beliau mendakwa, langkah menaikkan kadar SST juga dilihat seakan ‘menghukum’ pihak yang kerap membayar cukai.

Selain itu, beliau sangsi dengan pelaksanaan SST yang didakwa tidak secekap GST dalam menangani masalah ketirisan dan pengelakkan bayaran cukai oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Katanya , keputusan kerajaan menaikkan kadar SST hanya menggalakkan rakyat mencari jalan mengelak membayar cukai dan akhirnya menjejaskan pendapatan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mencadangkan penggunaan e-invois untuk menangani masalah ini, namun pelaksanaannya dijangka memakan tempoh masa yang lama.

Justeru ia terlalu awal untuk menjangka sekiranya e-invois ini dapat menyelesaikan masalah ketirisan dan pengecualian bayaran cukai.

“Jikalau kerajaan benar-benar cakna dan prihatin terhadap kesusahan rakyat dan ikhlas mahu membantu mengurangkan beban mereka, mengapa pula mereka enggan melaksanakan GST pada kadar lebih rendah seperti tiga hingga empat peratus tetapi sanggup pula menaikkan kadar SST kepada lapan peratus?,” soalnya.

Related posts

Leave a Comment