Sediakan 200,000 hektar sawah baharu

JOHOR BAHRU 15 Okt. – Kerajaan perlu menyediakan 200,000 hektar sawah baharu supaya negara berupaya mencapai tahap sara diri (SSL), sekurang kurangnya 80 peratus bagi beberapa tahun akan datang.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu menyelesaikan isu kehilangan lebih 50,000 hektar tanah sawah.

“Tanah untuk sawah hilang 10,000 hektar setiap tahun. Ia menyebabkan proses penanaman padi tidak dapat dilaksana dan tentunya pengeluaran tanaman itu berkurangan,” katanya.

Beliau mengemukakan cadangan itu dalam townhall bersama rakyat, arah tuju Muda di Taman Daya di sini, semalam.

Cadangan itu termasuk melantik segera Menteri Perdagangan dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah antara lima langkah dicadangkan Muda untuk negara menyelesaikan isu beras dalam jangka masa panjang.

“Tanah untuk sawah hilang 10,000 hektar setiap tahun. Ia menyebabkan proses penanaman padi tidak dapat dilaksana dan tentunya pengeluaran tanaman itu berkurangan.

“Kita perlu menyediakan 200,000 hektar sawah supaya kita berupaya mencapai tahap sara diri (SSL), sekurang kurangnya 80 peratus bagi beberapa tahun akan datang,” katanya.

Syed Saddiq Syed juga mencadangkan data pengagihan beras dari pemborong kepada peruncit di muat naik dalam laman web KPDN.

Beliau membangkitkan perkara itu apabila ketika membuat terjahan dan tinjauan di pasar raya, di kilang dan pemborong, beliau dapati apa yang dilaporkan atas kertas dengan apa yang berlaku di lapangan sangat berbeza.

“Saya berikan contoh apa yang dilaporkan bahawa pasar raya menerima contohnya 200 kampit beras 10kg tempatan dengan kawalan harga RM26 tetapi apabila saya turun mereka katakan hanya terima 10 hingga 20 kampit beras,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata, sektor pembekalan benih dan baja beras tempatan juga perlu bebas daripada kuasa Oligopoli, yang menjadi punca masalah bekalan kerap berulang, saban tahun.

Katanya benih dan baja yang berkualiti sekiranya dapat disalurkan pada masa yang tepat, negara tidak akan menghadapi masalah beras yang berterusan seperti ini.

Kerajaan juga perlu menyegerakan rundingan diplomasi bersama pemimpin-pemimpin atasan di India, untuk meneruskan eksport beras putih mereka.

“Kenapa negara jiran seperti Singapura dapat berunding menggunakan kuasa diplomasi supaya sekatan eksport India dikeluarkan dan beri kelonggaran kepada Singapura. Kenapa Malaysia tidak buat awal? kita sudah berbulan-bulan lambat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment