Bina semula Masjid Muhammad Al Amin

PENGHUJUNG 2013, Muslim Care Malaysia (MCM) mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah masjid luas dan cantik di Gaza, Palestin hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia.

Malangnya pada 7 Oktober 2023, Masjid Muhammad Al Amin itu musnah keseluruhannya akibat serangan bom tentera Israel yang bertindak balas selepas serangan Hamas.

Melalui Facebooknya, MCM mengimbas semula solat mengenai masjid itu termasuk solat Jumaat pertama di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan dibina pada 2011 menggunakan hasil sumbangan rakyat Malaysia, dan beroperasi pada Oktober 2013.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan seperti dilapor Metro Ahad, menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta itu bagi membangunkan semula masjid berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini kos pembinaan masjid dua tingkat lengkap dengan fungsi sebagai Pusat Islam itu adalah RM1.4 juta.

“Masjid Muhammad Al Amin mempunyai 1,000 kapasiti jemaah. Amat menyedihkan, selepas genap 10 tahun beroperasi ia dimusnahkan apabila menjadi sasaran tentera zionis laknatullah.

“Kami yakin masjid yang 100 peratus pembiayaannya menerusi sumbangan rakyat Malaysia ini akan berdiri teguh semula dengan bantuan dana orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang pembinaan semula  masjid itu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada Maybank Muslim Care Malaysia 564490211159 atau Bank Islam 07016010077651 (Rujukan: Masjid Palestin).

Katanya, slip sumbangan boleh dihantar kepada Hotline MCM: 011-50050035, 016-9978323 (Johari), 013-4886447 (Safuan).

Related posts

Leave a Comment