Penangguhan RUU satu pengkhianatan

SEPANGm11 Okt. –  Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyifatkan demikian berkata, rakyat berhak mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk kemudaratan, dan dalam kes ini, ia adalah perlindungan daripada bahaya produk merokok.

Menurut Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis antimerokok, NV Subbarow, rakyat berhak mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk kemudaratan, dan dalam kes ini, ia adalah perlindungan daripada bahaya produk merokok.

“Tambahan pula terlalu banyak lambakan produk vape di pasaran kini yang dibenar dijual secara bebas di pasaran terbuka tanpa kawalan dan undang-undang.

“Akibatnya, lebih ramai golongan muda terjebak dengan aktiviti merokok dan jika dibiarkan berleluasa, tidak mustahil aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menular menerusi peranti vape yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Subbarow, CAP sudah lama berjuang dalam menegakkan hak pengguna di negara ini, termasuklah isu bahaya rokok elektronik atau vape.

Katanya, apabila kerajaan membuat keputusan bagi menangguhkan pembentangan RUU, CAP sangat terkilan dan merasakan ia adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat oleh pihak kerajaan.

“Apakah alasan kerajaan untuk menangguhkan RUU ini? Jika isu seperti kekurangan bekalan beras tempatan, cuaca jerebu dan lain-lain dijadikan punca penangguhan RUU, amatlah tidak logik kerana semua itu sepatutnya boleh ditangani secara serentak oleh Kerajaan Madani yang cekap dalam pentadbirannya.

“Usahlah khianati kepercayaan yang diberi rakyat kepada kerajaan. Pembentangan RUU ini perlu disegerakan,” katanya lagi.

Subbarow berkata, ahli parlimen juga tidak boleh memberi alasan untuk tidak menyokong RUU berkenaan.

“Jangan mempertaruhkan masa hadapan anak kita demi kepentingan individu tertentu. Jadilah penyelamat kepada generasi akan datang dengan memastikan masa hadapan mereka terbela dengan adanya peruntukan Generasi Penamat Rokok,” katanya.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mempersoalkan tindakan menarik semula bacaan kali kedua RUU itu.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz menyifatkan tindakan berkenaan adalah perkara yang tidak boleh diterima dan menjadi satu pengkhianatan terhadap kepercayaan awam.

“Di manakah kedudukan kesihatan awam dalam senarai keutamaan kerajaan apabila kerajaan memutuskan penangguhan berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada aturan urusan lain.

“MMA pada mulanya berharap kerajaan komited untuk meluluskan RUU berkenaan, namun dengan keputusan penangguhan berkenaan ia telah menjejaskan kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Dr Azizan berkata, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengabaikan nasihat pakar terhadap penyingkiran nikotin daripada Akta Racun sebelum memperkenalkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 menimbulkan kebimbangan serius.

“Keputusan pengecualian nikotin daripada Akta Racun telah menyebabkan industri berkenaan sudah tidak terkawal dan boleh diakses oleh kanak-kanak dari semua peringkat umur.

“Itu adalah situasi yang begitu membimbangkan yang sepatutnya tidak dibenarkan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir dan bertanggungjawab,” katanya.

Related posts

Leave a Comment