KOTA KINABALU 5 Okt. – Dua puluh kerusi atau maksimum 23 sudah mencukupi jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperuntukkan sedemikian kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata keutamaan pihaknya adalah memastikan tidak ada perselisihan antara parti komponen dalam gabungan disamping menjaga kestabilan politik negara dan negeri ini.
“Apa yang penting kita mahu menjaga kestabilan politik negara sebenarnya. Kita tidak mahu dalam konteks negeri Sabah ini, kita akan wujudkan keretakan antara parti-parti komponen.
“Jadi itu yang kita mahu supaya hanya 20 (kerusi DUN Sabah) .. maksimum 23 tapi mungkin kurang lagi selepas perbincangan-perbincangan. Tapi bagi kita itu sudah mencukupi.
Kita mahu membentuk kerajaan stabil di peringkat negeri dan juga kita mahu supaya kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan nanti juga akan bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat,” katanya selepas Sambutan Maulidur Rasul 1447H Parlimen Sepanggar 2025 bertempat di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, semalam.
Semalam, media melaporkan GRS dikatakan menawarkan hingga 23 kerusi kepada PH menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkannya ia bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah dalam menghadapi PRN17.
Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan berkata, pada asalnya, STAR hanya mencadangkan agar PH mempertahankan tujuh kerusi penyandangnya di bawah logo GRS.
“Namun, Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dilaporkan menawarkan sehingga 21 hingga 23 kerusi kepada PH, sesuatu yang dilihat bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun yang menegaskan rundingan kerusi masih belum muktamad, dan tidak ada tawaran sedemikian.
Menurut laporan FMT, GRS sebenarnya mahu bertanding di 55 daripada 73 kerusi yang akan direbut, dan memperuntukkan bakinya (18) kepada PH.
Menurut Masidi beliau percaya yang dimaksudkan 23 kerusi itu adalah apa yang PH cuba minta sambil menyanggah pandangan STAR bahawa PH sepatutnya hanya mempertahankan tujuh kerusi yang disandang sekarang.
Nnnn
