Tarik tauliah tidak jejas gerakan dakwah

SHAH ALAM 10 Okt. – Tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah terhadap aktivis politik bermula tahun lalu tidak menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam di negeri ini.

Ini kerana ia hanya membabitkan sejumlah 26 orang iaitu 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 5,682 pemegang tauliah yang aktif di Selangor

Justeru Pengerusi MAIS Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam satu kenyataan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa larangan ini sebagai suatu sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor.

Beliau berkata, larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam ini dibuat bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

“Larangan ini juga bertujuan mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan serta perpecahan dalam masyarakat Islam.

“Ini suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’,.

“MAIS menegaskan bahawa larangan ini adalah langkah preventif bagi memastikan dakwah agama Islam yang disampaikan oleh aktivis politik yang bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam yang tidak bersikap partisan,” katanya .

Dalam pada itu MAIS menyelar kenyataan dimuat naik penceramah Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi akaun Facebook miliknya, yang mendakwa MAIS berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

Abdul Aziz menegaskan kenyataan terbabit berunsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan pembabitan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Selangor.

“MAIS menjelaskan bahawa ‘aktivis politik’ yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau berkata, larangan itu merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan serta fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak dalam kalangan masyarakat Islam

“Siasatan yang dibuat dan pengesahan tapisan keselamatan pihak Polis Diraja Malaysia, MAIS mendapati Dusuki tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan itu.

Abdul Aziz juga menegaskan MAIS sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik.

“MAIS menasihatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atau arahan MAIS kerana ia suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Related posts

Leave a Comment