Tiga LRA terjejas insiden pencemaran bau

KUALA SELANGOR: Insiden pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor awal pagi ini, menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di sebahagian kawasan di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, sehingga pukul 4 pagi, keempat-empat LRA iaitu SSP1, SSP2, SSP 3 dan LRA Rantau Panjang sudah mula beroperasi.

“Senarai kawasan sedang dikemaskini dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan, tiga LRA Sungai Selangor iaitu SSP1, SSP2 dan SSP3 terpaksa dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor.

Berikutan itu, Air Selangor bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang kawasan sungai itu.

Related posts

Leave a Comment