Larangan aktiviti politik di masjid,surau

(Foto hiasan sahaja)


SHAH ALAM 22 Julai – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan pentadbir masjid dan surau di negeri ini supaya tidak  membantu atau terbabit dalam apa juga aktiviti yang berfokus politik sama ada di masjid atau surau.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihak berkenaan sebaliknya perlu menghalang daripada berlaku jika jelas secara tampak aktiviti atau program yang membabitkan calon parti bertanding; aktivis politik; gambar tokoh parti serta slogan dan lambang yang mewakili parti tertentu.

“Selain itu, semua bentuk bahan kempen atau propaganda parti politik hendaklah dipastikan tidak berada di dalam premis bangunan atau di dalam kawasan pagar masjid dan surau.

“Ini berikutan, terdapat kemungkinan akan berlakunya usaha dan ikhtiar daripada parti politik untuk mengadakan aktiviti propaganda politik mereka di masjid dan surau di negeri ini.

Aktiviti yang lazim sebelum ini adalah seperti program pengenalan calon yang bertanding dalam pilihan raya, Program Sumpah Mubahalah, program berkumpulan ahli dan penyokong parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu telah diingatkan sebelum ini kepada pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Selangor menerusi surat bertarikh 22 Ogos 2022.

Jelasnya, ketetapan ini selaras dengan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mahu masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada propaganda politik serta politik kepartian.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, pentadbir masjid dan surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

“Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai masjid juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Related posts

Leave a Comment