17 lawatan PM ke luar negara, jana pelaburan

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Anwar Ibrahim telah melakukan 17 lawatan ke luar negara termasuk ke negara-negara ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) serta Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri berkata, hasil lawatan ke China pada Mac lalu itu menjana nilai potensi pelaburan RM170.07 bilion iaitu pelaburan komited sebanyak RM100.33 bilion hasil sesi meja bulat dengan pemimpin industri dan ketua perniagaan China.

Menjawab soalan tambahan Tuan Tan Kar Hing (PH-Gopeng), beliau berkata,
sebanyak RM69.74 bilion lagi daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China.

“Ini termasuklah pelaburan daripada Geely (syarikat automotif) dan susulan daripada itu, saya akan ke Tanjong Malim pada esok hari sebagai usaha kerajaan dalam meyakinkan pelaburan pembangunan Automotive High Tech Valley dapat direalisasikan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau juga menjelaskan lawatan ke AS berjaya membawa pelaburan berpotensi RM4.74 billion manakala lawatan ke UAE pula, menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion membabitkan sektor-sektor tenaga boleh baharu, logistik dan aeroangkasa.

“Pelaburan terbesar daripada MASDAR iaitu pembangunan projek tenaga boleh baharu di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.

“Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion dalam sektor logistik dan RM709.1 juta sektor aeroangkasa,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Langkah itu bagi menampung keperluan permintaan tenaga kerja yang bakal dijana hasil dari penerimaan pelaburan besar diraih negara.

Perdana Menteri, berkata, dalam perbincangan bersama pelabur seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk; Syarikat automotif China, Geely dan Infineon Technologies AG (Infineon), wujud keperluan itu yang mesti diambil perhatian kerajaan.

“Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur lima bilion euro di Kulim Hi-Tech, semua menyatakan sementara tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian.

“Saya sudah sampaikan amanat ini kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor (di universiti) supaya memberikan laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu ini termasuk pengkhususan dalam bidang AI.

Geely menyebut sementara jurutera kita di tahap sangat baik, (namun masih) memerlukan tahap kepakaran khusus dalam bidang automotif dan industri.

“Dalam perbincangan, kita minta mereka (Geely) juga menetapkan bidang-bidang disiplin khusus yang diperlukan supaya kita dapat mulakan latihan di universiti tempatan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengakui dalam menerima pelaburan besar ini, masih wujud kebimbangan segelintir pihak berhubung soal pelaksanaannya.

“Untuk pelaksanaan itu, kadang-kadang ada disuarakan kebimbangan. Bila diluluskan, yang disebut ‘ease of doing business’ itu kadang-kadang masih ada masalah.

“Itu saya sudah menetapkan supaya kita lakukan perubahan yang mendadak.
Bukan saja (wujudkan) ‘one stop centre’ (pusat sehenti) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tetapi Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah Menteri MITI dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM)… ini akan memastikan projek ini diluluskan dengan kadar segera,” katanya.

Related posts

Leave a Comment