Syor ambil empat tindakan berhubung kewangan negara

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi,

mengesyorkan empat tindakan yang perlu diambil berhubung kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tahun lalu.

Beliau mengemukakan syor itu dalam kenyataan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022, yang dibentangkan di Parlimen, hari ini .

Katanya, syor pertama ialah Kerajaan Persekutuan disarankan meningkatkan tadbir urus dalam menguruskan perbelanjaan awam selain mempergiatkan usaha ke arah keberkesanan pengurusan perbelanjaan.

Kedua, menambah baik pengurusan hutang awam iaitu kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang serta pengurusan jaminan kerajaan bagi mengurangkan risiko fiskal terutamanya dalam situasi ketidaktentuan pada masa hadapan.

Syor ketiga ialah pemantauan berterusan perlu dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan terhadap kerja dilakukan pegawai, termasuk memberi latihan bagi meningkatkan kompetensi pegawai.

Keempat ialah, keperluan meningkatkan keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD) di kementerian dan jabatan dan memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan secukupnya, menyediakan rancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.

“Membuat penilaian secara objektif dan bebas, bukan sahaja berkaitan dengan aspek kawalan dalaman malahan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi,” katanya.l

Sementara itu Wan Suraya turut mengemukakan 145 syor bagi menambah baik perkhidmatan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, 24 syor penambahbaikan perkhidmatan untuk kerajaan Persekutuan manakala sejumlah 121 syor lagi dikemukakan kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Sijil Ketua Audit Negara bagi 13 penyata kewangan Kerajaan Negeri tahun berakhir 31 Disember 2022 sudah selesai dikeluarkan sehingga Ogos lalu.

“Semua pegawai pengawal/pegawai kewangan negeri/ketua jabatan yang berkenaan sudah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) untuk tujuan pengesahan.

Mesyuarat Penutup juga sudah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit,” katanya.

Related posts

Leave a Comment