Najis tikus, lipas antara punca tutup

TANJONG 7 Okt. –  Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan tiga premis makanan di Bukit Jambul di sini, ditutup sementara selama 14 hari berikutan pelbagai kesalahan.

MBPP dalam kenyataan memberitahu, penutupan itu susulan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang tidak mematuhi syarat lesen dan gagal memiliki lesen sah di kawasan pentadbiran MBPP.

Antara kesalahan adalah penemuan najis tikus, lipas selain perangkap minyak tidak diselenggara manakala pekerja gagal mendapatkan suntikan anti tifoid.

Kesalahan lain tidak memiliki lesen sah MBPP bagi menjalankan perniagaan dan meletak peralatan perniagaan hingga mendatangkan halangan di siar kaki.

MBPP dalam kenyataan melalui Facebook memaklumkan operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan sebanyak lima premis makanan dan lima gerai penjaja di kawasan sekitar Bukit Jambul.

Katanya, sebanyak tiga premis makanan diperintah tutup serta-merta bagi tempoh selama 14 hari berkuatkuasa semalam sehingga 19 Oktober ini manakala tindakan rampasan terhadap dua premis makanan dan dua penjaja.

“Sebanyak tiga premis dikompaun dan notis dikeluarkan menerusi operasi berkenaan,” kata kenyataan itu.

MBPP berkata tindakan pemantauan dan penguatkuasaan tegas Jabatan Pelesenan MBPP akan dilaksana daripada semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha makanan atau premis perniagaan mematuhi peraturan.

Related posts

Leave a Comment