RM200 juta bangun pusat penyelidikan

KUCHING 7/Okt. –  Kerajaan Sarawak melabur sejumlah RM200 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit dengan tenaga kepakaran termasuk dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Premier Sarawak,  Abang Johari Abang Openg, berkata tenaga pakar itu boleh bekerjasama bukan sahaja untuk menyembuhkan penyakit tetapi juga berupaya menghasilkan vaksin bagi menghalang penularan wabak merbahaya.

Justeru katanya, pakar tempatan di Sarawak menjalin kerjasama dengan pakar antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Singapura bagi menangani penyakit berjangkit.

“Objektif utama kolaborasi dengan pakar antarabangsa itu ialah untuk menjamin kita mempunyai vaksin sendiri apabila menghadapi sesuatu ancaman wabak,” katanya selepas merasmikan Forum Usahawan dan Perniagaan 2023, di sini, hari ini.

Abang Johari juga menasihatkan semua pihak supaya berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman kesihatan baharu yang berupaya menjadi pandemik dikenali sebagai penyakit X.

Katanya, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengenal pasti sifat penyakit X, persediaan harus dilaksanakan bagi menghadapinya.

Beliau berkata, kesukaran untuk mendapatkan vaksin ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, harus dijadikan iktibar agar semua pihak bersedia untuk menghadapi wabak yang bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga boleh menjejaskan ekonomi dunia.

“Jika sudah diketahui apa sebenarnya penyakit X, barulah kita tahu apa vaksin sesuai untuk menanganinya, seperti mana kita menghadapi pandemik Covid-19 dahulu yang akhirnya ada tiga pengeluar berjaya menghasilkan vaksin,” katanya.

Related posts

Leave a Comment