Datuk : Sedia terima keputusan DAP

KOTA KINABALU 7 Okt. –  Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin bersedia menghadapi sebarang keputusan pucuk pimpinan DAP susulan tindakannya menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri hari ini.

Ketua Biro Dasar DAP Sabah itu menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pagi ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, beliau sedar polisi parti yang tidak membenarkan semua ahlinya menerima sebarang darjah kebesaran selagi masih berkhidmat kepada parti.

“Saya menyedari sepenuhnya polisi parti yang tidak membenarkan semua ahlinya menerima sebarang darjah kebesaran dan polisi itu tidak berubah sejak 2018. Ahli hanya dibenar menerima penganugerahan pingat selepas bersara daripada DAP.

“Bagaimanapun, saya sukar menolak penganugerahan ini kerana ia diberikan kerajaan negeri dan saya sendiri berasal dari Sabah.

Jadi, saya bersedia dengan sebarang keputusan yang bakal diambil pucuk pimpinan parti ke atas diri saya,” katanya selepas membuat tinjauan lapangan harga beras putih import terkini di sekitar Kota Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Selain Foong Hin, seorang lagi pemimpin DAP yang menerima darjah kebesaran sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Seramai 88 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah itu termasuk Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Related posts

Leave a Comment