BN kekal Pelangai, majoriti merosot

BENTONG 7 Okt. – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selepas mempertahankan kerusi Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun majoriti yang diperoleh calon BN, Amizar Abu Adam merosot iaitu 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Johari Harun.

Amizar memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN),  Cikgu Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 43 undi.

Pengumuman keputusan rasmi itu dibuat oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Mohammad Shahid Ismail di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul malam ini.

SPR merekodkan sebanyak 72.12 peratus daripada 16,456 pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penyandang kerusi, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

PRK kerusi berkenaan diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada BN-UMNO, dengan bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).

 

Related posts

Leave a Comment