Kemaman: Pas tidak kemuka rayuan

SEPANG 3 Okt. – Pas tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu bagi kerusi Parlimen Kemaman, kata Setiausaha Agungnya,  Takiyuddin Hassan.

Justeru, Pas kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya serta akan akur dengan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu itu.

“Keputusan ini diambil setelah Hakim Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi Pengurusan Kes (Case Management) melalui Sidang Video (zoom) pada hari ini (3 Oktober 2023) bahawa keputusan Yang Arif Hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti mana keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Menurut peguam, Amin Othman yang mewakili Wan Mohamad Hisham selaku pempetisyen, hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan.

Pagi ini, Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi Pengurusan Kes melalui sidang video bahawa keputusan Yang Arif Hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti mana keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.

“Keputusan saya bagi kes petisyen pilihan raya ini   terdapatnya unsur-unsur rasuah bagi bahagian pilihan raya Parlimen ini. Namun begitu saya tidak menamakan mana-mana pihak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment