PUTRAJAYA 3 Okt. – Sebanyak 41,612 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik sepanjang bulan Ogos lalu, berbanding 38,092 orang pada Julai 2023.
Dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2023 juga, sebanyak 12,915 orang pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya dan 763 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, senarai berkenaan terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2023 (DPT BLN8/2023) yang diperaku dan diwartakan hari ini.
Daftar itu dibuka untuk semakan orang ramai selama 30 hari bermula hari ini hingga 1 November 2023.
SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.myatau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Ikmalrudin berkata, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
Justeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2023 hingga 31 Ogos 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2023.
“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2023.
Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN8/2023, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
