BENTONG 2 Okt. – Kerajaan akan mengumumkan ‘formula’ sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar yang disasarkan pada penghujung tahun ini, iaitu yang berbaki dalam tempoh tiga bulan lagi.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Ahmad Maslan, berkata beliau menyedari kerajaan tidak mempunyai banyak masa namun kekal optimis ‘formula’ ampuh yang sudah ada sekarang mampu menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara ini.
Beliau berkata ketika ini terdapat sekitar 130,000 keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar tetapi Kementerian Kewangan (MoF) tidak memiliki kemas kini berkenaan berapa jumlah keluarga yang berjaya keluar dari kancah itu, kerana datanya disimpan Kementerian Ekonomi.
“Kita tunggu apakah skim sehingga hujung tahun ini yang akan diumumkan oleh kerajaan untuk menghapuskan miskin tegar. Saya tahu (kerajaan tak ada masa lama lagi)… tetapi kita ada formulanya cuma kita tidak umum lagi formula.
“Kita akan maklum dari semasa ke semasa. Ada kaedahnya (untuk hapuskan miskin tegar). Tetapi bukan nak bagi tanah jadi peneroka FELDA. Tidak,” katanya ketika ceramah di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) dekat Kampung Hayat di sini, malam tadi.
Pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertekad untuk membantu seramai 130,000 rakyat paling susah menerusi pelbagai bantuan dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan miskin tegar di negara ini.
Bagaimanapun, pembangkang mempersoal sasaran ditetapkan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini, kerana mendakwa kaedah dirangka termasuk apa yang bakal dilaksanakan untuk mencapai matlamat itu tidak jelas.
Ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada bulan lalu , Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin
berkata, beliau juga tidak pasti bagaimana formula pengiraan kemiskinan tegar seperti dicanang Kerajaan Perpaduan hendak dilaksanakan.
Sehubungan itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil untuk memberi penerangan lebih terperinci mengenai apakah ‘formula’ yang sedang dirangka atau akan dilaksanakan untuk menoktahkan kemiskinan tegar hujung tahun ini.
