400 jemaah B40 tolak bantuan bersasar

BANDAR TUN RAZAK 2 Okt. – Seramai 400 jemaah B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini, menolak tawaran itu atas faktor kemampuan menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka mengambil inisiatif itu bagi memberi laluan kepada jemaah lain yang lebih memerlukan.

“Mereka menolak subsidi itu sebaliknya serahkan bahagian mereka kepada jemaah lain lebih layak. Saya ucapkan terima kasih kepada golongan ini kerana membuat keputusan tidak terima subsidi demi manfaat penerima lain.

Ini sedikit sebanyak membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan bantuan kepada benar-benar memerlukan,” katanya selepas Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam, berhubung langkah kerajaan bersedia menyusun semula pemberian subsidi yang disifatkan sebagai tidak munasabah kerana turut dinikmati golongan kaya dan rakyat asing.

Anwar dilaporkan berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting bagi memastikan kewangan negara dapat terus diuruskan secara berhemah tanpa menambah hutang baharu kepada negara.

Mohd Na’im berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan jemaah T20 pada Musim Haji 1444H/2023M, Mei lalu.

Katanya, pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun terdahulu iaitu dipecahkan kepada tiga kelompok membabitkan B40, M40 dan T20.

“Ada kategori jemaah T20, mereka memang tak dapat subsidi dan perlu bayar penuh kos menunaikan haji. Ini memang sudah kita laksanakan (musim haji tahun ini),” katanya.

Tahun ini, TH meneruskan bantuan kewangan bersasar walaupun kos ibadah haji meningkat sehingga RM30,850 bagi seorang jemaah dengan menyediakan lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos jemaah haji kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.

Tahun ini, jemaah B40 perlu membayar RM11,980 dan RM15,980 bagi kumpulan M40 manakala T20 berpendapatan lebih RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuhnya.

Bagaimanapun, kerajaan menanggung kenaikan kos haji sebanyak RM1,000 bagi kumpulan B40 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar RM10,980 iaitu kadar sama tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment