NEW YORK: Gabenor New York, Kathy Hochul, mengeluarkan amaran bahawa hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di New York sejak Jumaat lalu akan menjadi ‘kebiasaan baharu’ tahunan berikutan kesan perubahan iklim.
Hochul, mengeluarkan amaran itu semalam, Sabtu, apabila banjir di negeri terbabit mulai surut selepas mengalami antara hari paling basah dalam sejarahnya.
“Ini sesuatu yang malang bagi kita kerana fenomena bencana alam seperti ini akan menjadi kebiasaan baharu di New York, namun kali ini tiada kematian dilaporkan.
“Perisytiharan darurat, yang dapat mempercepatkan agihan bantuan bagi menangani krisis, akan berkuat kuasa selama enam hari,” katanya.
Jumaat lalu, Hochul mengisytiharkan darurat di seluruh New York City, Long Island dan kawasan sekitarnya selepas ribut yang membawa hujan lebat membanjiri laluan kereta api bawah tanah dan jalan raya serta memaksa penerbangan ditangguhkan.
Hampir 20 sentimeter (sm) hujan diterima di sesetengah bahagian di bandar berpenduduk paling padat di Amerika Syarikat (AS) itu, menyebabkan paras air naik sehingga singa laut di Zoo Central Park berenang keluar dari kolamnya.
Walaupun bahaya banjir sudah berkurangan menjelang tengah hari semalam, sebuah hospital awam di Brooklyn memaklumkan semua pesakit dan stafnya akan dipindahkan berikutan ketiadaan bekalan elektrik sejak Jumaat lalu.
NYC Health + Hospitals/Woodhull beralih kepada bekalan janakuasa sampingan selepas terputus bekalan elektrik tetapi kerja pembaikan memerlukan bekalan elektrik dihentikan sama sekali selama beberapa hari.
Hospital berkenaan memindahkan 120 pesakit ke hospital lain pada Sabtu, suatu proses yang dijangka mengambil masa sehingga lapan jam.
Hujan yang terlalu lebat turut menyebabkan beberapa jalan bertukar menjadi ‘sungai’, menyebabkan bas dan kereta terkandas selama beberapa jam serta memaksa laluan kereta api bawah tanah dan komuter ditutup.
Beberapa penerbangan juga terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan di Lapangan Terbang LaGuardia, di mana sebuah terminal dikososngkan sepenuhnya selepas dinaiki air.
Presiden AS, Joe Biden, diberi taklimat mengenai banjir pada Jumaat dan Sabtu lalu, dengan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan bersedia untuk membantu jika diperlukan, menurut Rumah Putih.
