Usaha tarik 2,000 pulang mengundi

SHAH ALAM 1 Okt. – Pakatan Harapan (PH) melakukan pelbagai usaha untuk menarik lebih 2,000 pengundi di sekitar Kuala Lumpur pulang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari, berkata langkah itu bagi memastikan kemenangan calon BN, Amizar Abu Adam, supaya DUN Pelangai mempunyai wakil yang baik untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan pembelaan rakyat.

“Sekarang tugas kita adalah untuk memujuk pengundi DUN Pelangai yang tinggal di luar terutama yang berada di Kuala Lumpur supaya balik mengundi, sekali gus membantu kemenangan calon BN,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) di Central I-City Mall, di sini, petang semalam

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni.

Sementara itu, mengulas status terkini petisyen untuk membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos lalu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor, berkata pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada peguam berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang dimenangi parti lawan dengan majoriti kecil.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Related posts

Leave a Comment