Bersatu hati bangunkan negeri

KUALA NERUS 28 Sept. – Semua pihak termasuk rakyat perlu bersatu hati dan mengeratkan genggaman untuk bersama membangunkan negeri, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda bertitah, perpaduan sesama rakyat juga hendaklah ditingkatkan dengan mengikuti dan menelusuri sirah Baginda dan sahabat dalam mengamalkan segala tunjuk ajar dan perintahnya.

Menurut Sultan Mizan, banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda.

“Jaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama, justeru kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab tinggi,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Exco  kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri,  Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak bermula di padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.

Kontinjen Yayasan Islam Terengganu (YIT) muncul johan bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan.

Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang dinobat johan kategori Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS; Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu johan kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Syarikat Swasta manakala JPKK Mukim Wakaf Tembesu dipilih sebagai johan kategori Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Related posts

Leave a Comment