Mujahid dilantik Senator

IPOH 25 Mei – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, yang juga Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Ahli Dewan Negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Menteri Besar Perak,  Saarani Mohamad membawa usul pemilihan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama itu dan disokong Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja).

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan disebabkan Mujahid merupakan calon tunggal yang dikemukakan kepada Setiausaha DUN, maka Mujahid diumumkan sebagai Ahli Dewan Negara tanpa proses pengundian.

Saarani, ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan Senator itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 November tahun lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian itu merupakan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang kini merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar sejurus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Pada PRU15, Mujahid gagal mempertahankan kerusi Parit Buntar dalam pertandingan empat penjuru.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Misbahul Munir Masduki memenangi kerusi itu dengan memperoleh 23,223 undi menewaskan Mujahid (17,828 undi), Imran Mohd Yusof dari BN (11,593 undi) dan Rohijas Md Shariff (Pejuang) yang mendapat 259 undi.

Sementara itu, pada persidangan DUN Perak kali ini sebanyak empat usul diluluskan iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023, RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023, Meminda Perenggan (b) Fasal (1) Perkara (38) XXXVIII Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia.

Sidang DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula Isnin dengan Sesi Soalan Lisan, pembentangan dan perbahasan usul-usul serta meluluskan usul berkenaan.

Seramai 58 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir sepanjang persidangan kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana berada di Jepun.

Related posts

Leave a Comment