Pemuda UMNO sambut baik cadangan Pas

MELAKA – Cadangan Pas supaya penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu pada pilihan raya di Johor, mengundi calon Barisan Nasional (BN) membuka lembaran baharu ke arah penyatuan ummah.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perkembangan itu memberi gambaran bahawa masih wujud ruang untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti Melayu dan Islam, terutama dalam berdepan cabaran politik semasa.

Pemuda UMNO menyambut baik cadangan PAS supaya penyokong dan pengundi Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mengundi calon Barisan Nasional (BN).

“PRN Johor boleh menjadi titik permulaan kepada usaha terbabit sebelum diperluaskan ke negeri lain yang bakal berdepan pilihan raya pada masa hadapan.

Kita melihat ini sebagai satu perkembangan positif yang perlu disambut dengan hati terbuka demi memastikan agenda memperkasakan orang Melayu dan Islam dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laman Bromeliad Kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Taman Bunga Merdeka Banda Hilir, di sini hari ini.

Ketua Pemuda BN itu mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa penyokong PN mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyatakan hasrat parti itu untuk tidak membantu kempen calon Bersatu.

Katanya, susulan itu UMNO berharap jentera Pas dapat berkempen untuk calon BN, khususnya di kawasan yang ditandingi Bersatu.

“Kalau tak bantu kempen untuk Bersatu, mereka bantu calon BN. Justeru, saya berterima kasih dan menyambut baik hasrat itu dan semoga saranan ini menjadi titik tolak kepada permulaan yang jauh lebih baik untuk negara kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment