BENTONG 23 Sept. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
BN yang akan mempertahankan kerusi itu diwakili Amizar Abu Adam yang berasal dari FELDA Chemomoi manakala PN mencalonkan semula Kasim Samat atau Cikgu Kasim dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, di sini pagi ini.
PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Oktober depan sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon Pejuang – 65 undi).
Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat Barisan Nasional-UMNO (BN-UMNO), dengan bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).
Johari yang juga anak jati Pelangai dicalonkan BN-UMNO pada PRU15 dan mengekalkan kerusi itu untuk terus menjadi kubu kuat DUN di Pahang.
DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli 10 peratus.
