Gesaan gugur undang-undang baharu hijab

GENEVA: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) meminta pihak berkuasa Iran membatalkan undang-undang baharu bagi hukuman wanita yang melanggar peraturan berpakaian Islam yang ketat.

Pejabat hak asasi manusia (PBB) yang menyifatkan hukuman itu sebagai menindas kesal dengan kelulusan Rang Undang-undang Kesucian dan Hijab yang mengancam wanita Iran yang melanggar kod berpakaian Islam iaitu mewajibkan penutup kepala dan pakaian sederhana dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Jurucakap, Ravina Shamdasani, berkata undang-undang itu disifatkan meningkatkan hukuman penjara dan memperuntukkan denda ke atas wanita dan gadis yang tidak mematuhi kod pemakaian wajib.

“Selain hukuman penjara yang panjang dan denda yang berat, mereka yang didapati melanggar juga boleh disebat dan menghadapi sekatan perjalanan.

Ketua hak PBB, Volker Turk pernah mengulangi bahawa rang undang-undang yang zalim berlaku terang-terangan dan ia mesti ditangguhkan,” katanya.

Desakan di Iran untuk meningkatkan penalti berlaku setahun selepas gelombang protes yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini, 22 tahun, yang ditangkap kerana didakwa melanggar peraturan.

Sejak itu, semakin ramai wanita Iran dilihat di khalayak ramai tanpa memakai tudung atau mematuhi peraturan terhadap pakaian yang dianggap terlalu ketat atau mendedahkan.

Badan perundangan Iran meluluskan dekri yang dinamakan sepenuhnya “Rang Undang-undang Menyokong Keluarga dengan Mempromosikan Budaya Kesucian dan Hijab” untuk tempoh percubaan selama tiga tahun.

Shamdasani berkata, rang undang-undang itu lebih teruk daripada apa yang dimiliki sebelum ini dan tidak melihat banyak kemajuan walaupun terdapat kemarahan yang mencurah-curah berikutan pembunuhan Mahsa Amini.

“Keadaan tidak bertambah baik berkaitan dengan hak wanita di Iran. Wanita dan kanak-kanak perempuan tidak boleh dilayan sebagai warga kelas kedua. Pihak berkuasa mempunyai kewajipan untuk menghormati, melindungi dan memenuhi, sama rata, hak semua rakyat Iran,” katanya.

(Foto hiasan International Humans Right Community)

Related posts

Leave a Comment