MAHB terus kendali Sabiha Gokcen Istanbul

NEW YORK: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan Turkiye menguruskan Lapangan Terbang Sabiha Gokcen, di Istanbul, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana Turkiye berpuas hati dengan kejayaan syarikat milik kerajaan Malaysia menerusi Khazanah Nasional itu mengendalikan lapangan terbang berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepada Perdana Menteri, dalam pertemuan dua hala mereka ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di sini petang waktu tempatan.

“Edrogan setuju MAHB terus mengendalikan lapangan terbang itu kerana berpuas hati sehingga kini dan mahu sambungan landasan yang lebih panjang,” katanya.

Anwar berkata, Turkiye berpendapat MAHB berkeupayaan untuk melaksanakan operasi lapangan terbang itu dan dan mahu ia dikendalikan oleh syarikat yang sama.

Katanya, walaupun persetujuan meneruskan operasi oleh MAHB telah diumumkan, Anwar berkata ia akan melalui proses biasa oleh kementerian yang berkenaan.

“Ini satu dokongan yang cukup besar dan keyakinan kepada syarikat Malaysia untuk membangun dan menguruskan Lapangan Terbang Sabiha,” katanya.

Dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, lapangan terbang itu merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021, yang merupakan 70 peratus daripada angka prapandemik Covid-19.

Sementara itu, Malaysia dan Turkiye mencapai kesepakatan untuk menangani ancaman Islamophobia menerusi pelbagai langkah yang sedang dan akan dilaksanakan.

Kedua-dua negara bersetuju mempertingkatkan usaha kerjasama dan strategi mengekang gerakan membenci Islam oleh pihak tertentu yang berpusat di serata dunia.

Turkiye akan melaksanakan strategi di lokasi kegiatan yang berpusat di Eropah dan Timur Tengah manakala Malaysia di kawasan Asia.

Anwar berkata, sikap melampau dan prasangka mengenai apa sahaja terhadap Islam di barat dan negara lain perlu ditangani.

“Kita berbincang (dalam pertemuan hari ini). Ada beberapa siri persidangan telah dianjurkan (sebelum ini) dan akan diteruskan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di PBB di sini.

Anwar juga berkata, isu sama akan dibincangkan dalam lawatan Erdogan ke Malaysia yang dirancang hujung Disember berdasarkan tarikh bersesuaian dengan aturcara Yang di-Pertuan Agong.

“Antara isu yang akan diberi penekanan ialah usaha mengadakan lebih banyak pertemuan supaya ada kesepakatan antara negara (bagi menangani ancaman Islamophobia),” katanya.

Related posts

Leave a Comment