11 beri keterangan himpunan

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Sebelas daripada 25 individu yang dikenal pasti menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia selesai memberi keterangan kepada polis, setakat tengah hari ini.

Mereka termasuk Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Tun Faisal Ismail Aziz; Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.

Proses rakam keterangan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini bermula pada pukul 10.30 pagi dengan sembilan daripadanya selesai dirakam keterangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Tun Faisal yang ditemui memaklumkan kesemua yang dirakam keterangan pada hari ini memberi kerjasama baik kepada polis dan proses itu berjalan lancar.

Menurutnya, proses rakam keterangan dijalankan oleh seorang pegawai polis dan beliau ditemani tiga peguam sepanjang proses itu berjalan.

“Ada tiga soalan diajukan kepada saya termasuk laporan polis yang saya buat serta perhimpunan pada Sabtu lalu.

“Bagi saya ini adalah proses biasa yang dilaksanakan oleh polis walaupun sebenarnya pada pandangan saya siasatan ini tidak ada asas daripada segi undang-undang kerana Akta Perhimpunan Aman 2012 membenarkan kita menyuarakan pandangan dan berhimpun.

“Dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan (kebebasan menyuarakan pendapat), tetapi apabila pihak polis sudah panggil (untuk diambil keterangan), sebagai warga negara Malaysia, kita beri kerjasama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment