China sokong jayakan NIMP 2030

NANNING 17 Sept. – China akan memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia dalam menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, China turut menyambut baik dengan cadangan Asian Monetary Fund (AMF) sebagai pemberi pinjaman pilihan terakhir kepada rantau ini semasa krisis kewangan berlaku.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena lawatan kerja beliau ke bandar raya ini bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Menurut Anwar, terdapat potensi besar bagi ASEAN dan negara-negara Campur Tiga termasuk China untuk berusaha ke arah cita-cita ideal dibayangkan di bawah AMF yang pernah dicadangkan selepas Krisis Kewangan Asia.

“Mewujudkan AMF, walaupun bercita-cita tinggi, adalah usaha yang patut diteruskan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu Malaysia dan China bersetuju untuk mengadakan komunikasi berterusan dan terbuka mengenai isu Laut China Selatan bagi memastikan situasi di lapangan sentiasa aman.

Anwar berkata, ia antara isu berkaitan Laut China Selatan yang dibincangkan semasa perjumpaannya dengan Premier Li Qiang, hari ini.

Anwar berkata, Li juga menzahirkan sokongannya terhadap ASEAN Centrality dalam menangani isu keselamatan antarabangsa di rantau ini, serta menyokong blok ASEAN yang bebas, termasuk mengenai isu perseteruan di antara Amerika Syarikat dan China.

Menurut Anwar dalam pertemuan berkenaan, beliau turut mengutarakan mengenai situasi Myanmar dan isu penghantaran balik pelarian Rohingya.

Premier Li telah menghuraikan konsep community for a shared future for mankind, yakni konsep yang menekankan prinsip keterbukaan, peradaban, keterangkuman, dan saling hormat-menghormati dalam menangani isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.

“Nilai ini konsisten dengan nilai-nilai dalam Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena lawatan kerja beliau di sini untuk menghadiri China-ASEAN Expo (CAEXPO) ke-20.

Anwar berkata, secara amnya Malaysia menyokong nilai-nilai universal dalam membasmi kemiskinan, memperjuangkan keadilan dan pembangunan mampan.

Related posts

Leave a Comment