ALOR SETAR 17 Sept. – Polis mengenal pasti 25 individu termasuk seorang ahli Parlimen yang terbabit dalam ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ di ibu negara, semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata setakat ini 22 orang berjaya dihubungi hari ini dan esok lima individu akan hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur manakala seorang lagi akan dipanggil Selasa ini.
Baki selebihnya akan dipanggil kemudian secara berperingkat untuk membantu siasatan.
Katanya, banyak pihak juga menyatakan ketidakpuasan mereka dengan tindakan polis kononnya di bawah Akta Perhimpunan Aman ini mereka boleh membuat perhimpunan.
“Seperti yang sudah dijelaskan lebih awal oleh saya sendiri dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sudah jelas, memang tak perlu permit tetapi mereka perlu menghantar notis.
“Dalam notis itu, ada lebih 14 perkara yang perlu dipatuhi, contohnya perlu meminta kebenaran terhadap pemilik kawasan terbabit, di mana akan diadakan perhimpunan itu, tetapi bila tidak dinyatakan dengan jelas, menyukarkan pihak polis untuk membuat kawalan.
“Bayangkan sekejap dekat Masjid Kampung Baru, sekejap Sogo, jadi kita perlu mengatur gerak anggota dan pegawai lebih awal untuk memastikan kawalan keselamatan berjalan lancar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, ada pihak menyatakan di bawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, hak asasi berhimpun memang ada tetapi perlu ada juga artikel 10 (2) yang mana setiap kebebasan untuk berhimpun ada batas-batasnya perlu dipatuhi.
“Kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan dan ketenteraman awam, itu kena jelas sebab polis tidak akan bertolak ansur.
“Jangan jadikan itu alasan untuk melanggar undang-undang kerana undang-undang dibuat untuk dipatuhi.
“Undang-undang ini digubal dalam parlimen oleh yang berhormat (Ahli Parlimen). Kalau Yang Berhormat tidak menunjukkan contoh baik kepada masyarakat, bagaimana masyarakat nak mematuhi undang-undang,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Ia juga melibatkan Seksyen 4(2)b mengadakan perhimpunan larangan di masjid dan Seksyen 4(2)e membawa kanak-kanak bagi menyertai perhimpunan.
Sementara itu, Ayob turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang dikatakan mahu mengadakan perhimpunan seumpamanya sekali lagi, selepas ini.
“Saya difahamkan ada juga khabar angin mengatakan mereka nak buat lagi perhimpunan. Kami akan ambil tindakan tegas dan jangan nak banding-bandingkan dengan kejadian dulu-dulu,” katanya.
Semalam, sekumpulan peserta perhimpunan berarak dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru ke kompleks beli belah Sogo selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah.
Perarakan diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.
Tun Faisal bersama Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.
