Himpunan Aman Selamatkan Malaysia secara aman

KUALA LUMPUR 16 Sept. –  Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang berlangsung di hadapan kompleks beli belah Sogo di sini, berakhir dengan para peserta bersurai secara aman.

Perhimpunan bermula dengan peserta berarak dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru di sini ke kompleks Sogo selepas menunaikan solat Zuhor, bermula kira-kira pukul 1.50 tengah hari.

Perarakan diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN),  Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.

Kumpulan itu berarak kira-kira dua kilometer melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kemudian ke Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas solat Zohor berjemaah di Masjid Jamek Kampung Baru.

Tun Faisal Ismail bersama Ketua Penerangan Bersatu,  Razali Idris; Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan empat lain tampil membuat laporan polis berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri,  Ahmad Zahid Hamidi dari 47 pertuduhan rasuah.

Perhimpunan itu berakhir kira-kira pukul 3.30 petang dengan peserta menyanyikan lagu Negaraku serta mengaminkan bacaan doa.

Related posts

Leave a Comment