Permaisuri bangga roti canai roti terbaik

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan rasa sukacita dan bangga berikutan roti canai kegemaran rakyat Malaysia dinobatkan sebagai roti terbaik di dunia oleh Tasteatlas.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kejayaan itu yang menyaksikan roti canai mengalahkan India yang popular dengan roti naan dan Eropah sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara, roti canai juga adalah pilihan makanan yang digemari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Menduduki ranking pertama dalam carta tersebut, roti canai mendapat skor tertinggi iaitu 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna.

Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan Tasteatlas selepas Julai lalu, dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia dan September tahun lalu
roti canai dianugerahkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia.

TasteAtlas baru-baru ini, menerbitkan carta 50 Teratas ‘Roti Terbaik di Dunia’.

TasteAtlas sebuah laman antarabangsa yang menjadi panduan pelancongan dalam talian, memfokuskan makanan dan memaparkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.

Roti canai adalah roti leper goreng yang popular di Malaysia, diadun dengan tepung, air dan telur yang kemudiannya menjadi doh dan diuli beberapa kali bagi membentuk lapisan sebelum menjadi tekstur yang lembut dan gebu di bahagian dalam dan rangup di lapisan luar.

Pan de Bono, roti diperbuat dengan tepung jagung, keju dan telur yang berasal daripada Colombia mendapat tempat kedua diikuti Butter garlic naan dari India pula dinobatkan di tempat ketiga dalam carta berkenaan.

Related posts

Leave a Comment