BN bawa acuan ‘Malaysia Asal’

KUALA LUMPUR 1 Jun – Kembali ke acuan ‘Malaysia Asal’ atau ‘The Original Malaysia’ berpandukan formula Barisan Nasional (BN), bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ gagasan Pakatan Harapan (PH).

Itu iltizam BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN pada masa sama akan melakukan penambahbaikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran lalu.

Ini termasuk agenda pembaharuan institusi supaya prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah.

Menurut Ahmad Zahid, selepas lebih empat tahun PRU-14 berlalu, gabungan itu yakin hanya BN yang mampu mencipta kestabilan, bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.

Malaysia Baharu adalah slogan yang diperkenalkan sejurus PH menguasai majoriti kerusi Dewan Rakyat pada PRU-14 pada Mei 2018 yang membawa maksud kerajaan baharu yang mengalahkan BN yang menguasai kerajaan Persekutuan sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Malaysia Asal berpandukan formula BN yang digagaskan nenek moyang kita, yang dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasa lagi melalui Rukun Negara serta pelbagai dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen BN 2022 sempena Ulang Tahun BN Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, berkata semua pimpinan dan ahli gabungan itu mempunyai tanggungjawab untuk mewajahkan semula BN bagi tujuan berkenaan.

Mereka juga, katanya, perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman dan tawaran yang dapat meneruskan keterujaan rakyat untuk kembali memberikan sokongan.

Beliau menggariskan lima strategi bagi menjayakan matlamat itu, iaitu BN mesti bersedia keluar daripada kerangka lama dari segi formula yang pelbagai, termasuk pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU-15.

“Teruskan formula (calon) ‘boleh menang, diterima dan disukai’ yang terbukti berjaya pada dua pilihan raya negeri sebelum ini, kita perlu tampilkan lebih ramai muka baharu sebagai wajah hadapan BN. Kita sudah buktikan 87 peratus muka baharu pada PRN Melaka dan 79 peratus di Johor.

“BN juga mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka. Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk jalin kerjasama, mahu pun terima sesiapa saja selagi mereka terima prinsip kita,” katanya.

Presiden UMNO itu berkata, BN juga perlu menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan bagi memperkasa tatakelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran, termasuk memastikan institusi benteng kedaulatan undang-undang tidak lagi dicemari agenda untuk membunuh seteru politik.

“BN juga perlu kembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk jadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan matlamat menjadikan negara destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi saksama, perhebat pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi keperluan dan bukan kaum.

“Pengurusan ekonomi mapan dan lebih telus serta berpandukan tadbir urus baik dan merancakkan kembali pertumbuhan. BN ada pengalaman, kepakaran bagi menyusun semula usaha pacu ekonomi dan bantu rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi, harga barang keperluan yang meningkat amat mendadak,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan, pasukan kerja pusat BN diketuai Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hassan akan mula turun ke negeri pertengahan bulan ini bagi meninjau persiapan jentera parti menjelang PRU-15.

“Saya mahu Jawatankuasa Pilihan Raya BN di setiap peringkat diaktifkan segera. Tanamkan dalam pemikiran dan tindakan kita mulai sekarang, yang bertanding adalah BN, bukan MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Jika ada peluang untuk parti bergabung, mereka juga bawa wajah dan wadah BN.

“Gerakan kita adalah gerakan biru, lambang kita adalah satu, dacing yang menjadi lambang neraca kesetiaan dan kestabilan, lambang kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment