SPR akan dimaklumkan kekosongan DUN Jepak

KUCHING 15 Sept. – Kekosongan kerusi N67 Jepak akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya,  Talib Zulpilip, hari ini, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Idris Buang.

Katanya, Speaker DUN Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan kekosongan itu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak,

“Speaker selepas ini akan memberitahu pihak SPR agar pihak SPR mengeluarkan perintah dan writ untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana kita ada lebih kurang tiga tahun lagi hayat DUN,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Talib, di Pusat Perubatan Normah, di sini malam ini.

Beliau berkata, Perlembagaan Negeri Sarawak mengkehendaki PRK diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis kekosongan dimaklumkan kepada SPR.

Talib, 72, bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.50 petang tadi ekoran komplikasi buah pinggang selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu semalam.

Jenazah Allahyarham diuruskan di Kompleks Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya pada jam 7.30 malam dan dikebumikan pada jam 9 malam.

Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996 dan pada 2009, dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak.

Related posts

Leave a Comment