JAKARTA: Indonesia berusaha untuk meningkatkan stok simpanan beras dengan mencatatkan peningkatan besar pada sektor import beras dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Ketua Badan Pusat Statistik Indonesia, Amalia Adininggar Widyasanti, berkata Indonesia mengimport 1.59 juta tan beras dari Januari hingga Ogos tahun ini, manakala lebih 429,000 tan beras diimport untuk keseluruhan 2022.
Harga beras global meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun pada minggu lalu selepas keputusan pengeluar utama beras, iaitu India pada Julai lalu menghentikan eksport beras bukan basmati, susulan beberapa faktor termasuk harga domestik yang melambung tinggi dan keadaan iklim yang melampau.
“Import beras dari Januari dan Ogos 2023 mengalami peningkatan yang agak tinggi, berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Widyasanti tidak mendedahkan angka import bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Kebanyakan beras import datang daripada negara jiran, iaitu Thailand yang menghantar 802,000 tan beras dan Vietnam mengeksport 674,000 tan beras sepanjang tempoh terbabit.
Pemerintah Indonesia menetapkan kuota beras import sebanyak 2.3 juta tan pada tahun ini bagi mengekalkan kestabilan harga kerana dijangka gangguan pengeluaran beras akibat fenomena El Nino.
Sementara itu, semalam Presiden Jokowi meninjau Gudang Bulog Purwasari di Kabupaten Karawang, Jawa Barat, sambil menyalurkan bantuan makanan berupa beras kepada keluarga penerima manfaat (KPM).
Melalui hantaran di Facebooknya,Jokowi berkata, program bantuan makanan simpanan beras kerajaan akan diagihkan kepada 21.3 juta KPM di seluruh Indonesia dalam tempoh tiga bulan iaitu September, Oktober dan November.
Setiap bulan 10 kilogram untuk setiap KPM.
