KUALA LUMPUR 15 Sept. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tharman Shanmugaratnam yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura kesembilan semalam.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Singapura terus bekerja rapat bagi membawa kemajuan dan kemakmuran untuk kedua-dua negara dan rakyatnya.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah agar dua negara berjiran yang mempunyai hubungan sejarah dan rakyat mendalam, terus meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang,demi kepentingan bersama.
Tharman, 66 memenangi pilihan raya Presiden dengan memperoleh 70.40 peratus iaitu kira-kira 2.5 juta undi pada 1 September lalu.
Dalam ucapan sulungnya sebagai ketua negara semalam, Tharman berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk mewakili Singapura dan mempromosikan kepentingan negara itu di luar negara selaras dengan objektif dan keutamaan kerajaan.
“Kita telah memasuki era ketidaktentuan global dan kerapuhan yang semakin meningkat,” katanya
Presiden itu berkata, krisis Ukraine yang berterusan telah melanggar prinsip kedaulatan dan integriti wilayah negara-bangsa.
“Ekonomi utama telah beralih daripada perdagangan bebas dan aliran pelaburan. Kepercayaan strategik antara kuasa besar dunia dilihat berkurangan dengan hubungan AS-China yang paling bermasalah dalam tempoh beberapa dekad,” katanya.
Beliau berkata, Singapura mesti mencari jalan maju ke hadapan di tengah-tengah ketegangan global ini.
Tharman pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura antara 2011 dan 2019, dan sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.
Peranan beliau yang lain termasuk Pengerusi Monetary Authority of Singapore antara 2011 dan 2023, dan Timbalan Pengerusi GIC antara 2019 dan 2023.
Sebagai bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir Singapura, beliau Ahli Parlimen (MP) yang mewakili bahagian Taman Jurong Jurong GRC antara 2001 dan 2023.
Pada Julai 2023, Tharman melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan dan meletak jawatan sebagai ahli PAP untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya presiden.
(Foto FB Presiden Singapura)
