Zahid harap PH-BN diperkukuh ke akar umbi

PUTRAJAYA 10 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan yang baharu terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan dapat diperkukuhkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi BN itu berkata, usaha berkenaan penting sebagai pemangkin semangat perpaduan sekali gus berupaya memimpin negara dengan memberikan khidmat terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

“BN akan terus bersama mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini yang benar-benar mencerminkan Wajah Malaysia,” kata Presiden UMNO itu menerusi perkongsian di media sosialnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Setiausaha Agung BN,  Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Sharkar Shamsudin, menghadiri Persidangan DAP 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau melihat kesungguhan DAP untuk mengekalkan perpaduan negara menerusi ucapan yang disampaikan Loke serta Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

“Mendengar ucapan Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) sebentar tadi ada menyebut Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang inklusif dan mewakili seluruh rakyat Malaysia.

“Malah, demi menjaga kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, perbezaan politik dirungkaikan dan perpaduan dijadikan asas untuk kita bersama membina semula negara, khususnya dalam membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Ia juga diterjemahkan oleh perwakilan yang saya temui selepas saya menjejakkan kaki ke dewan perhimpunan ini di Putrajaya yang mahukan kestabilan politik untuk memangkin lebih kejayaan buat Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment