KUALA LUMPUR 10 Sept. – Berdasarkan data bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, semalam, sebanyak 75 peratus pengundi Melayu menolak Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, berkata dengan pertambahan jumlah sokongan kepada PN pada PRK berkenaan, beliau yakin gabungan itu mampu menawan Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata dengan gabungan undi yang diperoleh PH-BN pada PRU lalu, di Pulai contohnya, gabungan itu sepatutnya mempunyai stok 90,000 undi, namun apa yang berlaku, terdapat penurunan undi yang begitu ketara semalam.
Pada PRU-15 November lalu, Salahuddin menang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 selepas memperoleh 64,900 undi, menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) yang meraih 31,726 manakala Loh Kah Yong (PN) 20,677.
Manakala di DUN Jeram pada PRN lalu, Salahuddin menang majoriti 2,399 undi selepas memperoleh 8,749 Ustaz Zarul Salleh (PN) 6,350, Datuk Lokman Md Don (BN) 6,062, dan Mahaizal Mahmor (Pejuang) 208 undi.
Semalam calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor menang dengan majoriti 18,641 undi, selepas memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar daripada PN, yang mencatat 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula meraih 528.
Bagi DUN Simpang Jeram, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang mewakili PH diumumkan menang dengan majoriti 3,514 undi.
Nazri memperoleh 13,844 undi, diikuti calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengucap tahniah kepada PH-BN kerana kejayaan itu.
“Jika mereka rasa puas hati dengan keputusan ini, mereka boleh teruskan. Bagaimanapun, kami tidak akan berhenti menyedarkan rakyat untuk mencampak mereka keluar daripada tampuk pemerintahan dalam pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media kempen “Gerakan Selamatkan Malaysia” di sini, hari ini.
Mengenai keyakinan untuk menang di Johor, susulan PN masih gagal menawan hati pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa propaganda yang dimainkan PH menyebabkan pengundi Cina menentang PN.
Ahli Parlimen Machang itu mendakwa, ketidakadilan dari segi siasatan terhadap pemimpin PN dalam isu berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R), walaupun pemimpin DAP turut melakukan perkara sama, menyebabkan mereka salah faham kepada PN.
“Saya percaya, disebabkan isu ini, kebanyakan pengundi Cina menentang kita, propaganda yang menyebabkan salah faham, dengan menganggap kami ekstremis,” katanya.
