Monopoli Bernas di Sabah perlu ditamatkan

KOTA KINABALU 6 Sept. – Sabah harus menguruskan import berasnya sendiri sekaligus menamatkan monopoli yang ketika ini dipegang oleh Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), kata Timbalan Ketua Menteri, Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, import makanan ruji itu seharusnya diurus sendiri negeri ini dengan pendekatan lebih rapi berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografinya.

“Sudah tiba masanya Sabah membebaskan diri daripada kekangan monopoli satu entiti yang telah lama menetapkan pasaran tempatan kita.

“Saya percaya perubahan ini dapat merangsang persaingan dan membawa kepada bekalan beras yang lebih stabil dan mungkin harga yang lebih rendah kepada pengguna di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian sebagai mengulas isu peningkatan harga beras import susulan tindakan Bernas menaikkan harga bahan makanan itu, baru-baru ini.

Katanya, cadangan mengurus sendiri import beras itu berikutan kebimbangan orang ramai di Sabah mengenai jangkaan peningkatan harga beras putih import sehingga 36 peratus seperti diumumkan Bernas.

Jeffrey membuat cadangan itu berikutan isi rumah di seluruh Sabah bimbang kerana harga beras putih import dijangka meningkat sehingga 36 peratus seperti yang diumumkan oleh Bernas.

Katanya, kenaikan harga yang begitu ketara bukan sahaja mengganggu kestabilan belanjawan isi rumah tetapi juga menjejaskan kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah.

“Bernas mesti telus dalam mekanisme penetapan harga dan paras simpanannya. Orang ramai berhak mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apakah langkah yang diambil untuk menstabilkan pasaran,” katanya.

Selain itu, Jeffrey berkata Bernas juga perlu mengeluarkan stok tambahan daripada rizab mereka kerana ini bukan hanya aset perniagaan semata.

“Ia  adalah sumber awam, terutamanya dalam masa permintaan yang meningkat atau ketidakstabilan pasaran seperti sekarang. Sudah tentu semua perniagaan mahu menjana keuntungan, tetapi Bernas sedang berurusan dengan ruji penting. Keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas rakyat,” katanya.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Sabah mengimport 290,000 metrik tan beras, termasuk rizab, pada 2021 tetapi hanya mengeluarkan 22,000 metrik tan beras dalam negara.

Jeffrey mendedahkan kementeriannya sedang berusaha mengurangkan kebergantungan Sabah kepada beras import melalui pelbagai projek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pertanian merupakan satu daripada tiga tonggak utama SMJ. Kami berhasrat meningkatkan tahap sara diri Sabah untuk pengeluaran beras kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Ini, katanya, akan dicapai melalui pengaktifan Lembaga Beras dan Padi Sabah bagi membantu pesawah meningkatkan pengeluaran padi melalui pemulihan sawah terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.

“Projek-projek ini dijangka membawa faedah jangka panjang dan akan melindungi Sabah daripada perubahan harga beras global.

“Saya menggesa rakyat kita supaya bersabar kerana kita bekerja dengan gigih dalam projek pertanian transformatif ini. Kita bukan sekadar menangani krisis segera; kita sedang membina Sabah yang lebih berdaya tahan, dan berdikari,” katanya.

Related posts

Leave a Comment